Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
KULAPIS, Isnin, 9 Mac. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) lewat petang tadi mengadakan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran sempena bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kemajuan Pelancongan, bertempat di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.
Hadir ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Atur cara didahului dengan penyerahan sumbangan wakaf dari KSSUP yang berupa peralatan-peralatan keperluan masjid kepada Imam Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.
Seterusnya, bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran beramai-ramai.
Acara disudahi dengan berbuka puasa dan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Majlis Tadarus Al-Quran berkenaan antara lain merupakan antara kegiatan keagamaan tahunan yang diadakan pada setiap tahun dalam bulan Ramadan yang diungkayahkan oleh KSSUP.
Ia juga bertujuan bagi mengeratkan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan serta jemaah masjid dan penduduk kampung, di samping bagi mendapatkan keberkatan serta ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan daripada KSSUP, jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawahnya, serta Ahli Takmir Masjid, ketua kampung dan penduduk Kampung Kulapis.